Syukur kepada Tuhan kerana saya telah diberi peluang untuk mengikuti Mission Trip di Sibu pada 18-24 November 2010. Terpujilah namaMu Tuhan Yesus Kristus! Kerana kesetiaanMu dan bimbinganMu dalam misi kali ini telah mengajar dan memberi teguran serta bimbingan kepada kami untuk memberi yang terbaik bagiMu. .
Pertama sekali saya ingin mengongsikan kasih Tuhan yang sungguh nyata dalam misi ini. Kerana kasih Tuhan yang begitu besar, telah membuka jalan bagi bangsa Iban untuk mengenal Tuhan dengan lebih dekat lagi dan mengalami kasihNya yang luar biasa. Puji Tuhan kerana lewati KasihNya, ramai jiwa-jiwa yang baru telah mengenal Tuhan tidak kira yang muda mahupun yang tua. Apa yang menyentuh hati saya ialah apabila saya melihat begitu ramai kanak-kanak datang ke kebaktian Sekolah Minggu dengan penuh kegirangan dan sukacita. Sungguh, sukacita yang penuh kelimpahan dangan Kasih Karunia Allah! Para ibu dan juga para remaja dalam komuniti ini juga telah memberi komitmen dan respon yang luar biasa saat kami mengongsikan tentang keselamatan dan Yesus dalam hidup mereka. Sesetengah daripada mereka sanggup datang ke tempat pelayanan untuk belajar dan mengenal Yesus dengan lebih mendalam lagi dalam sesi pemuridan. Segala komitmen yang mereka berikan telah memberi impak yang besar dalam hidup saya. Saya percaya bangsa Iban milik Tuhan Yesus dan saya percaya Tuhan akan bekerja dengan luar biasa dalam kehidupan bangsa Iban agar kemuliaannya dapat dinyatakan! Haleluyah!
Selain itu, apa yang saya pelajari sepanjang misi penginjilan ini ialah bagaimana mengenal hati Bapa dan melayani dengan hati hamba. Dalam misi ini saya mula menyedari dan belajar bagaimana melayani dengan hati hamba. Apa yang saya lihat dan apa yang saya lalui sepanjang misi ini seperti memberitakan Injil kepada orang yang belum mengenali Tuhan, tidak pernah saya lalui sepanjang kehidupan saya. Namun, kerana kasihNya dan mendapat hikmat serta kekuatan darinya, semuanya dapat ditempuhi dengan sukacita dan penuh sorak-sorai. Saya percaya benih yang kami taburkan tidak akan sia-sia sebab Tuhan yang berserta. Mengenai hati Bapa, pada awal misi ini saya tidak dapat mengenal hati bapa terhadap bangsa ini iaitu bangsa saya sendiri. Namun, selepas mengikuti misi ini saya mengenal isi hati Bapaku di syurga untuk bangsa Iban. Apabila saya melihat keadaan dan situasi sebenar yang ditempuhi oleh komuniti Iban dari aspek sosio-ekonomi dan kepercayaan animisme yang masih kuat dalam diri mereka, hati saya hancur dan saya percaya Bapa di syurga pun kecewa. Dan pada masa itu lah, baru saya sedar Bangsa Iban perlukan Yesus, Bangsa Iban perlukan pelepasan, Bangsa Iban perlukan keselamatan dan kasih Karunia dari Allah! Saya percaya Tuhan akan memulihkan bangsa Iban. Tuhan akan memulihkan hati yang hancur, membawa yang sesat kepada jalan yang benar, yang lemah akan dikuatkan , yang sedih akan ketawa dan sudah tentu yang sakit akan disembuhkan! Tiada yang terlambat untuk Tuhan bekerja dan saya sangat rindu bangsa saya akan mengalami kasih Tuhan yang luar biasa!
Akhir sekali, saya juga belajar sesuatu daripada rakan-rakan saya yang turut ikut dalam melayani sepanjang misi ini. Komitmen dan kesungguhan yang mereka tunjukkan telah mendorong saya untuk melayani bangsa Iban dengan lebih kuat dan gigih lagi. Jutaan terima kasih buat rakan-rakan seiman : Pay Shen, Marysia , Hui Hui , Yi Zhen, Li Wei, Wang Jing, Kally, Zachary, Zhao Lin, Joyce, Josephine, Chai Ni dan juga Kaphin. Walaupun baru saja mengenali kalian, kasih Tuhan telah menyatukan kita. Segala gurau-senda, ketawa yang tak pernah henti, suka dan duka yang kita tempuhi bersama akan tetap menjadi kenangan yang terindah buat diri saya. Saya tidak akan lupakan kenangan semasa kita melayani bersama. Tuhan Yesus Memberkati!